KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) mengingatkan para atlet agar ‘tidak syok sendiri’ mengambil makanan tambahan sesuka hati sehingga mengundang bahaya buat karier mereka apabila didapati positif doping.
Pengerusi Jawatankuasa Perubatan/Doping KOM, Datuk R Annamalai menegaskan sebarang pengambilan produk tambahan perlu mendapat kebenaran pegawai perubatan di Institut Sukan Negara (ISN) dan dengan pengetahuan jurulatih mereka.
Malah beliau mengingatkan agar jurulatih secara berkala membuat pemeriksaan terhadap sebarang makanan atau minuman yang diambil oleh atlet di bawah jagaan mereka.
“Jurulatih kena kerap lakukan pemeriksaan apa barang (produk) yang atlet makan seperti produk yang mahu jadi cantik dan kurus dibeli secara dalam talian. Dia (atlet) tidak tahu itu adalah terlarang dalam kod anti doping.
“Saya rasa atlet itu ambil minuman dan dia tidak tahu. Kawan-kawan kata bagus dan dia makan bukan untuk tujuan olahraga (stamina) tetapi dia sendiri ambil (produk tambahan).
“Dia juga tidak membuat semakan dengan doktor atau jurulatih. Jadi timbul isu ini (positif doping),” katanya ketika ditemui media pada majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia di Kuala Lumpur pada malam Ahad.
Media baru-baru ini melaporkan atlet lompat tinggi kebangsaan Ngu Jia Xin digantung dua tahun selepas didapati positif ujian kawalan doping yang dilakukan di Kejohanan Trek dan Balapan KOM 2023.
Jia Xin yang memenangi pingat emas Sukma 2022 digantung selama dua tahun dari menyertai sebarang penyertaan bermula 2 Jun 2023 hingga 1 Jun 2025 selaras dengan Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan Agensi Anti-Doping Dunia Kod 2021.
Justeru Annamalai berkata, atlet terbabit akan membuat rayuan dan memberi justifikasi secara bertulis secara terperinci, lengkah dan kukuh sebelum tarikh akhir selama 14 hari iaitu pada 24 Januari ini.
“Dia akan buat rayuan dan bagi justifikasi dalam bentuk tulisan. Ini kerana semasa pendengaran secara lisan di hadapan panel (Adamas), dia tidak banyak cakap, jadi susah untuk beri perincian.
“Rayuan untuk kurangkan jumlah tahun hukuman,” katanya. -Sinar