Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Yusof cipta kejutan, raih pingat di Piala Dunia Berbasikal Para

Kuala Lumpur: Atlet berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin mencipta kejutan apabila berjaya merangkul pingat gangsa pada Piala Dunia Berbasikal Para Lebuh Raya di Adelaide, Australia.

Lebih manis kejayaan itu menyaksikan atlet berusia 27 tahun itu menjadi atlet berbasikal para pertama yang meraih pingat pada kejohanan berprestij berkenaan.

Mohamad Yusof mempamerkan kayuhan bertenaga dalam acara ujian masa lebuh raya dengan merakam masa 21 minit 33.17 saat (s) untuk memperoleh tempat ketiga.

Pingat emas menjadi milik pelumba Sepanyolm Ricardo Ten Argiles yang mencatat masa 21.32.27s dan pingat perak disambar wakil Jerman, Pierre Senska selepas mencatat masa 21.32.27s.

Piala Dunia Berbasikal Para Lebuhraya berlangsung bermula Khamis lalu hingga Rabu ini.

Dalam pada itu, jurulatih skuad berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh berkata kejayaan yang diraih itu memberi peluang kepada Mohamad Yusof untuk mengumpul mata kelayakan bagi menempah slot ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Yusof telah diletakkan harapan bagi memburu slot ke Sukan Paralimpik Paris 2024. Pada awal perlumbaan jurulatih telah mengingatkan pelumba itu supaya memberi tumpuan kepada perlumbaan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, Mohamad Yusof akan sekali lagi berentap bagi acara lebuh raya esok.

Bagi melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024, Mohamad Yusof perlu memperoleh mata kelayakan sekurang-kurangnya 1322.5 mata dengan hanya satu slot disediakan untuk pelumba Malaysia ke temasya berprestij yang akan berlangsung bermula Ogos depan.-Harian Metro