Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 13, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysian Tigress mula langkah kiri di Sepanyol

SKUAD hoki wanita negara bermula dengan langkah kiri pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mencatatkan kekalahan besar 0-7 kepada tuan rumah Sepanyol pada Sabu.

Pada aksi Kumpulan B berlangsung di Estadio Beterodi, Valencia itu, skuad Malaysian Tigress berjaya bertahan dengan baik pada suku pertama perlawanan sebelum pasukan lawan memperoleh gol pertama pada minit ke-30 menerusi jaringan padang Patricia Alvarez.

Memasuki suku ketiga, permainan kurang meyakinkan anak didik Mohd Nasihin Nubli Ibrahim membiarkan Sepanyol menyumbat dua gol lagi, masing-masing menerusi Belen Iglesias pada minit ke-37 dan Maria Lopez yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41.

Pasukan di ranking kelapan dunia itu terus mendominasi perlawanan apabila Iglesias menyumbat gol keempat (minit ke-52), diikuti jaringan kelima dan keenam oleh Alvarez (minit ke-56 dan 57), sebelum Beatriz Perez melengkapkan gol kemenangan pada minit ke-60.

Skuad hoki wanita negara dijadual bertemu Kanada dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan pada Ahad.

Sementara itu, Mohd Nasihin berkata, perlawanan itu bukan satu yang mudah buat pasukan wanita negara apatah lagi ini merupakan pertemuan pertama skuad negara dengan Sepanyol yang menduduki ranking jauh lebih tinggi.

“Pertemuan dengan Sepanyol bukan sesuatu yang mudah, dan pemain juga memberikan persembahan terbaik pada suku pertama perlawanan.

“Kita akan cuba curi mata apabila bertemu Kanada yang mempunyai ranking lebih kurang sama dengan kita esok,” katanya menerusi rakaman video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC). – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
400 sertai Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Terbuka Sarawak Ke-2

MIRI: Kira-kira 400 penggiat seni mempertahankan diri termasuk dari Korea Selatan, Brunei Darussalam, Filipina, India dan Nepal selain Malaysia, mengambil bahagian pada Kejohanan Taekwondo Antarabangsa Terbuka Sarawak Ke-2 yang membuka tirainya pada Sabtu.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari berkenaan merupakan anjuran Kelab Taekwando Aelma diadakan di Recreational Hall, Curtin University Malaysia.

Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin dalam ucapan perasmiannya memuji pihak penganjur dalam usaha mewujudkan platform untuk atlet seni mempertahankan diri menggilap kemahiran masing-masing.

“Di Malaysia, taekwando juga telah diterima secara rasmi sebagai salah satu acara sukan di sini seperti Sukan Malaysia atau dikenali sebagai SUKMA.

“Justeru, kejohanan ini juga merupakan satu pendedahan yang baik kepada atlet taekwando untuk meningkatkan taraf mereka bagi membuat persediaan untuk pemilihan mewakili Sarawak ke SUKMA,” ujarnya.

Lee berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Kaunselor Nicholas Toh yang mewakilinya bagi merasmikan kejohanan terbabit.

Mengulas lanjut, Lee memberitahu kejohanan tersebut penting kerana memberi peluang kepada atlet tempatan untuk bersua dan bersaing dengan atlet dari negara lain.

“Malah, saya yakin atlet kita akan dapat menimba ilmu dan kemahiran baharu apabila melibatkan diri dengan atlet antarabangsa.

Antara persembahan seni mempertahankan diri Taekwando sebagai pembuka tirai kejohanan terbabit yang berlangsung di di Recreational Hall, Curtin University Malaysia.

Antara persembahan seni mempertahankan diri Taekwando sebagai pembuka tirai kejohanan terbabit yang berlangsung di di Recreational Hall, Curtin University Malaysia.
“Saya berharap agar semua yang menyertai kejohanan ini melakukan yang terbaik untuk mencapai kejayaan selaras dengan usaha latihan yang dilakukan.

“Lakukan terbaik seperti latihan yang telah anda jalani. Kekalkan semangat kesukanan dalam diri dan ingatlah persaingan adalah tempat untuk anda menunjukkan bakat anda melalui latihan di samping mempelajari kemahiran serta teknik baharu daripada pihak lain,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam yang turut berucap pada majlis berkenaan berkata, acara demikian secara langsung merupakan tempat terbaik untuk mencungkil bakat dalam kalangan atlet taekwando orang kelainan upaya (OKU).

“Buat pertama kali, Malaysia menganjurkan acara taekwando untuk OKU. Ini memberi mereka peluang untuk menyerlahkan nama negara dalam sukan tersebut.

“Pada Disember lalu, atlet taekwando yang menghidap cerebral palsy (CP) Dunson Lihan Choi Chong Lee dari Miri yang telah memenangi emas dan perak pada acara ‘Para Taekwondo 2nd One Heart’ di Bangkok.

“Di bawah bimbingan Master Kim Tea Ho dan Pembangunan Kemahiran OKU Sarawak, atlet Sarawak kita berjaya mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Justeru, Razi berharap tidak lama lagi akan ada atlet para taekwando mewakili Sarawak dan Malaysia dalam kejohanan besar termasuk kejohanan dunia dan Olimpik.

“Marilah kita bersama menjadikannya sebagai satu harapan kerana tiada mustahil jika kita bekerja sebagai satu pasukan untuk menyumbang kepada kejayaan dengan memainkan peranan masing-masing.

“Sukan juga secara langsung boleh meningkatkan sumber pendapatan seseorang,” tambahnya.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Pendidikan Miri Dzulfikhar Awang, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri Roley Lagir, Presiden Persatuan Taekwando Kukkiwon Malaysia Datuk Dr T Arasu, Presiden Kelab Taekwandi Aelma Master Nagarajan Visuvanathan, Pengerusi World Para Taekwando Federation (WPTF) Malaysia Dato Sri Wilfred Juot Kulungan, Pengerusi WPTF Dr Lee Sanf Heon, serta tetamu kehormat yang lain.-Utusan Borneo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bekas jurulatih ragbi rebah ketika joging

HULU SELANGOR: Seorang bekas jurulatih ragbi Majlis Sukan Negara (MSN) meninggal dunia selepas rebah ketika berjoging di Taman Riadah Dahliasari, Bandar Sungai Buaya, hari ini.

Sebelum kejadian, lelaki warga emas berusia 75 tahun itu dikatakan bersenam bersama komuniti taman jam 7 pagi.

Kemudian mangsa berjalan di trek di kawasan kejadian lalu rebah dan tidak sedarkan diri jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata pada jam 9 pagi lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh kakitangan hospital yang datang memberi bantuan kecemasan.

“Mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung dan darah tinggi (20 tahun),” katanya dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia