Kuala Terengganu: Skuad berbasikal lebuh raya Terengganu membuka kalendar musim baharu dengan perancangan program latihan yang lebih intensif dan berimpak tinggi.
Jurulatihnya, Anuar Manan menegaskan, beberapa pendekatan baharu dalam program latihan ditambah baik termasuk memanfaatkan sepenuhnya elemen sains sukan dengan penggunaan teknologi mahupun aspek pemakanan berbanding kaedah konvensional yang menekankan aspek kudrat.
Anuar berkata, walaupun tempoh berbaki kurang lapan bulan lagi sebelum Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 membuka tirainya, pelumba juga akan turut didedahkan dengan penyertaan perlumbaan berprestij dalam dan luar negara.
Tambah bekas pelumba kebangsaan itu, beliau memberi gambaran pasukannya akan menjalani program latihan beraltitud tinggi di luar negara sebelum Sukma membuka tirainya.
“Kualiti perlumbaan di Sukma pada masa ini khususnya saingan pasukan lawan dari negeri lain semakin meningkat berbanding dahulu dengan rata-rata kelajuan masing-masing boleh mencecah dengan pelumba-pelumba yang lebih profesional.
“Oleh itu saya bersama barisan kejurulatihan membuat perancangan lebih intensif berbanding musim lalu, dengan memanfaatkan segala elemen yang menjadi tambah nilai seperti sains sukan.-Harian Metro