Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKSAR Sibu platform lahir pelapis SUKMA Sarawak

SERIAN, 9 Jan: Sebanyak 13 acara sukan bakal dipertandingkan pada Sukan Sarawak (SUKSAR) di Sibu yang bermula pada 15 hingga 18 Januari ini.

Ketua Kontinjen Zon Selatan SUKSAR, Caroline Cleophas Joseph berkata, SUKSAR kali ini bakal menjadi platform pencarian bakat atlet Sarawak sebagai pelapis Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal berlangsung di negeri ini pada Ogos kelak.

“Kedua, ia adalah untuk membantu persatuan dalam penganjuran pertandingan, ketiga, untuk memperkenalkan sukan teras ke setiap zon.

“Antara lain, adalah untuk menyediakan program pendedahan bagi atlet pelapis SUKMA dan seterusnya untuk penyediaan pegawai-pegawai teknikal bagi sukan-sukan terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam Taklimat Persiapan Akhir Atlet Zon Selatan sempena SUKSAR Edisi Ke-3 2024 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Residen Bahagian Serian berkata, seramai 367 orang dari Zon Selatan bakal menyertai sukan berkenaan yang melibatkan 74 orang pengurus pasukan dan 293 orang atlet yang meliputi bahagian Serian, Samarahan dan Kuching.

Ujarnya, Zon Selatan merupakan juara keseluruhan bagi edisi SUKSAR sebelum ini dengan pungutan pingat sebanyak 55 emas, 46 perak dan 31 gangsa.

Caroline mendedahkan pihaknya berharap untuk menjuarai temasya SUKSAR tahun ini berikutan optimis atlet baharu yang dilatih kali ini merupakan bakat-bakat yang masih muda serta dari peringkat sekolah menengah.

“Jadi, kita berharap agar dapat mencungkil bakat seawal yang mungkin dan harapan saya ialah agar kita (Zon Selatan) akan terus menjuarai sukan SUKSAR edisi ke-3 pada kali ini,” katanya.

Untuk rekod, 13 acara yang dipertandingkan ialah sukan angkat berat, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, futsal, hoki, judo, karate, pencak silat, sepak takraw, tinju, taekwando dan wushu. – TVS