KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia mencuba elemen Perancis untuk diterapkan dalam sesi latihannya, kira-kira enam bulan menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Pemain berusia 25 tahun itu kini berlatih bersama pemain adik-beradik dari Perancis – Toma Junior Popov dan Christo Popov – bagi mendapatkan pengalaman berdepan berlainan pemain dengan corak permainan yang berbeza-beza menjelang kejohanan Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena bermula hari ini.
Menetapkan Olimpik Paris sebagai sasaran utama, pemain di ranking ke-11 dunia itu berkata sesi latihan berkenaan membantu beliau mendapatkan pengalaman dan keupayaan untuk menghadapi lawan dengan gaya permainan dan kemahiran berbeza untuk menguasai perlawanan.
“Amat baik untuk bermain dengan pemain dari negara lain kerana kita boleh membantu satu sama lain (meningkatkan prestasi). Mereka adalah antara barisan pemain perseorangan terbaik di Eropah. Adalah bagus untuk mempunyai rakan seperlatihan yang berbeza-beza,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan rasmi di sini semalam.
Menduduki tempat ke-11 ranking Race to Paris, juara All England 2021 itu berharap dapat mengesahkan slot ke Sukan Olimpik lebih awal supaya dapat mengurangkan jumlah kejohanan yang akan disertainya tahun ini.
“Buat masa ini, saya akan beraksi dalam kejohanan peringkat Asia, Masters Thailand (30 Jan hingga 4 Feb), dan kemudian di Eropah. Kita tengok macam mana, bergantung juga kepada prestasi saya, kalau layak awal, saya akan kurangkan kejohanan disertai.
“Bertanding dalam banyak kejohanan pun, kalau keputusan tak baik tak guna juga, tak ada kesan. Ranking ke Paris pun ambil 10 kejohanan terbaik sahaja, kalau bertanding 30 kejohanan pun, semua setakat pusingan pertama tidak guna juga,” katanya.
Zii Jia dan seorang lagi pemain negara Ng Tze Yong yang menduduki tempat ke-13 dalam kelayakan ke Paris, mempunyai peluang cerah untuk layak kerana setiap negara mempunyai kuota dua wakil dalam acara perseorangan jika kedua-duanya berada di tempat ke-16 dan ke atas pada tempoh berakhir kelayakan 28 April depan.
Pemain kelahiran Kedah yang akan memulakan kempen Terbuka Malaysia berdepan lawan dari China, Lu Guang Zu hari ini berharap dapat mempamerkan aksi lebih baik kali ini selepas gagal melepasi pusingan kedua sejak penampilannya pada 2019, manakala pada edisi lepas, dikejutkan dengan kekalahan kepada Kodai Naraoka dari Jepun pada pusingan pertama.
Sementara itu, pemain di ranking ke-25 dunia Toma Junior memberikan komen positif berhubung sesi sparring bersama pemain profesional Malaysia itu selepas pernah berlatih bersama untuk kejohanan lain.
“Ia bagus dapat meluangkan masa berlatih bersama kerana saya perlu meningkatkan permainan untuk menjadi dalam kalangan terbaik dunia. Biasanya saya berlatih bersama adik saya, dan kami hampir sama dalam gaya permainan tetapi bagus untuk ada beberapa perubahan. Ini lebih memberikan motivasi.
“Tahun lepas adalah baik bagi saya, berjaya mengejutkan beberapa pemain di ranking lima teratas, dan mara ke separuh akhir beberapa perlawanan. Ini penting untuk beraksi Olimpik di tanah air sendiri. Persediaan ke Olimpik agak panjang dan buat masa ini, kami berdua cuba untuk layak dalam acara perseorangan dan beregu,” katanya.
— BERNAMA