Kuantan: Pengalaman di pentas antarabangsa menjadi taruhan atlet memanah Pahang, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi untuk memburu tiga pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, September depan.
Katanya, walaupun cabaran dijangka sengit, dia tetap menaruh harapan tinggi untuk merangkul pingat emas untuk kontinjen Tok Gajah.
“Saya sedar bukan tugas mudah dalam acara kelayakan, individu dan berpasukan campuran kerana saingan atlet Terengganu, Selangor, Sabah dan tuan rumah (Sarawak).
“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan Sukma kali ketiga dan terakhir saya ini berkesudahan dengan kejayaan membanggakan,” katanya.
Dia yang kini sedang mengikuti latihan pasukan memanah Majlis Sukan Negara (MSN) di Nilai, Negeri Sembilan berkata, pada Sukma Kuala Lumpur tahun lalu dan Sukma Perak 2018, dia hanya mampu meraih satu emas dalam acara berpasukan.
Menurutnya, dia mahu merangkul tiga emas sebagai penanda aras keupayaan sebenar sebagai atlet kebangsaan yang kini memasuki musim keenam.
Justeru, katanya, pengalaman mewakili negara di pentas antarabangsa akan digunakan sepenuhnya dalam misi berkenaan.-Harian Metro