Sarawak dipilih tuan rumah Kejohanan Boling Piala Dunia Remaja 2026

KUCHING, 7 Jan: Sarawak terpilih sebagai tuan rumah Kejohanan Boling Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung pada 2026.

Presiden Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS), Sunny Si Poh Heng berkata, kejohanan berkenaan khusus untuk pemain boling berusia bawah 21 tahun akan berlangsung di Megalanes Sarawak.

Katanya, kejohanan itu diadakan secara dwitahunan dan tahun ini pertandingan akan berlangsung di Lima, Peru.

“Saya difahamkan untuk kejohanan edisi ini yang akan bermula pada 19 Januari, pemain boling remaja kebangsaan yang berasal dari Sarawak, Nur Hazirah Ramli dipilih untuk mewakili Malaysia,” katanya.

Presiden Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS), Sunny Sim Poh Heng menyampaikan cenderahati kepada Ahli Dewan Negara, Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim. Foto: Nazirah Adlina (TVS)
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Kejohanan SSC-ABAS-Senator Interschool Tenpin Bowling Challenge 2024, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Dato Ahmad Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Naib Presiden ABAS, Robert Lu Nam Min dan Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia, Maradona Chok.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan gelanggang boling berkenaan akan turut menjadi venue bagi acara boling tenpin pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang berlangsung pada Ogos ini.

Kejohanan SSC-ABAS-Senator Interschool Tenpin Bowling Challenge 2024 yang berlangsung sejak 5 Januari hingga hari ini merupakan usaha SSC dengan ABAS untuk memberi pendedahan pertandingan boling kepada atlet dan instruktor selain menilai prestasi atlet di bawah Program Pembangunan Sukan Boling Tenpin Sarawak.

Sebanyak 30 sekolah rendah dan 28 sekolah menengah seluruh Sarawak menyertai kejohanan ini. -TVS