Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 5, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Temubual Ekslusif di Planet Sukan saluran TV1

Saksikan temubual ekslusif di Planet Sukan saluran TV1 bersama YBrs. Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN mengulas lanjut mengenai “Recap 2023” pada 7 Januari 2024 (Ahad) pada jam 10.00 malam!

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Rexy optimis Tang Jie-Ee Wei tempah slot Olimpik di All England

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky optimis beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mampu menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 selewat-lewatnya pada kejohanan All England, Mac ini.
Rexy berkata keyakinan itu berasaskan prestasi dipamerkan pasangan pada ranking kesembilan dunia itu pada Kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China, Disember lepas.
“Setakat ini anggaran kelayakannya adalah antara 70 hingga 80 peratus. Jadi kita pastikan dia boleh dapat (kelayakan) selewat-lewatnya pada All England, tambahan pula, bila bercakap tentang pesaing pingat dengan aksi terakhir di Jelajah Dunia Akhir itu, saya lihat mereka ada peluang.
“Saya sudah lalui sebagai seorang pemain dari Olimpik tentang bagaimana seseorang itu dari bukan siapa-siapa boleh cipta kejutan, kalau kedua-dua gandingan ini tampilkan persembahan baik dan tiada kecederaan, saya yakin mereka boleh ke Olimpik,” katanya pada sidang media pasukan kebangsaan menjelang Terbuka Malaysia 2024 di sini, hari ini.
Pada Jelajah Dunia Akhir lepas, Tang Jie-Ee Wei terlepas peluang ke separuh akhir selepas mencatatkan satu kemenangan dan dua kekalahan pada peringkat kumpulan.
Dalam pada itu, Rexy berkata sekiranya gandingan juara Master Orleans 2023 itu sudah menempah tiket awal ke Olimpik, beliau akan mengurangkan kejohanan yang disertai mereka.
Rexy berkata Tang Jie-Ee Wei perlu meningkatkan prestasi mereka supaya mampu menyaingi pasangan pada kedudukan lima teratas dunia.
Sementara itu, jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata persiapan Tang Jie-Ee Wei untuk beraksi di Terbuka Malaysia pada 9-14 Jan depan dilihat berada pada tahap yang baik.
“Kalau ikutkan, memang tidak cukup tetapi semua pemain lain pun sama juga, tidak ada persiapan yang banyak. Namun bagi saya, rasanya ia lebih baik berbanding (persiapan) Jelajah Dunia Akhir Disember lalu,” katanya.
Nova berkata beliau kini lebih memberi tumpuan untuk memperkuatkan lagi bahagian pertahanan gandingan itu dalam usaha meningkatkan keupayaan mereka memberi tentangan sengit pada perlawanan akan datang.
“Kita tengok sendiri di China, Tang Jie-Ee Wei penat sebab beraksi terlalu lama, mereka tak tahan itu tetapi persiapan untuk Terbuka Malaysia ini saya rasa pemain terutamanya Ee Wei telah meningkat banyak. Dia pun yakin dengan latihan yang dilakukan,” katanya.
Tang Jie-Ee Wei menampilkan aksi memberangsangkan pada musim 2023 apabila berjaya menjuarai Terbuka Taiwan pada Jun dan Masters Orleans pada April selain memperoleh gangsa pada Masters Korea pada November dan Terbuka Artik pada Oktober.
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olimpik 2024: Tiga sukan jadi sandaran MOM raih pingat

KUALA LUMPUR, 5 Januari -Tiga lagi sukan diharap mampu layak ke Sukan Olimpik 2024.

Menurut Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, sukan tersebut adalah berbasikal, terjun dan Badminton.

Jelas beliau, tiga sukan berkenaan mempunyai peluang bagi meraih pingat pada temasya Paris.

“Kita masih melihat tiga sukan utama iaitu berbasikal, terjun dan badminton.

“Harapan kita masih di sana dan kepada atlet-atlet sukan tersebut tingkatkan lagi usaha untuk kita harap dapatkan pingat dalam Olimpik yang akan datang” kata Nazif yang ditemui selepas program Planet Sukan di Wisma TV, Angkasapuri di sini.

Terdahulu beliau memaklumkan MOM akan mengumumkan senarai akhir atlet yang akan bertanding pada Sukan Olimpik selewat-lewatnya Mac ini. -RTM

Majlis Sukan Negara Malaysia