Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Aisyah sudah mulakan latihan ke Olimpik

Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohd Zubir memaklumkan baru sahaja melaporkan diri di Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai bagi memulakan persiapan ke Olimpik kelak.

Nur Aisyah yang melakar sejarah tersendiri sebagai pelumba lebuh raya wanita pertama terpilih beraksi di temasya Olimpik Paris 2024 berkata, dia kini sudah memulakan latihan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, sesi latihan berkenaan dijalankan sejurus selepas berakhirnya tempoh rehat panjang daripada menjalani sebarang aktiviti di MSN.

“Buat masa sekarang, saya boleh katakan perkembangan setakat hari ini masih di tahap 20 peratus kerana saya pun baru sahaja memulakan latihan.

“Sebagai persediaan awal bagi aspek fizikal dan mental, saya mendisiplinkan diri dari segi pemakanan dan mendapatkan rehat yang cukup untuk mengelakkan tekanan pada diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Nur Aisyah turut menyasarkan untuk mengekalkan prestasi yang terbaik dan menghabiskan perlumbaan dengan cemerlang.

Menurutnya, temasya Sukan Olimpik Paris 2024 itu adalah penampilan sulungnya di peringkat dunia dan antara temasya sukan terbesar di dunia yang pernah disertai sepanjang kariernya.

Untuk rekod, anak kelahiran Terengganu itu pernah meraih tujuh emas di Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 selain meraih dua perak satu gangsa di Sukan Sea Hanoi dan dua gangsa di Sukan Sea Kemboja.

Seiring pencapaian itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan secara sebulat suara untuk memilih Nur Aisyah bagi mengisi slot beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Terdahulu, Malaysia layak secara merit menerusi slot benua Asia selepas menamatkan perlumbaan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di tempat kedua teratas dalam kalangan pelumba negara yang belum layak ke Olimpik.

-Harian Metro