Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Mod ‘gear lima’ buru tiket Olimpik

PARA atlet negara ketika ini berada dalam ‘gear lima’ untuk meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Nazifuddin Najib berkata, mereka mempunyai tempoh sehingga April untuk ‘pecut’ mendapatkan slot ke temasya terbesar dunia tersebut.
“Jangan toleh belakang lagi, fokus kepada matlamat untuk raih tiket Olimpik. Buat yang terbaik demi negara dan teruskan berjuang.
“Saya jangkakan antara April hingga Mei kita boleh nampak lebih jelas jumlah sebenar atlet negara yang akan beraksi di Paris 2024,” katanya kepada Sukan Sinar.
Setakat ini Malaysia sudah mempunyai lima wakil yang mengesahkan tempat untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Mereka ialah Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Bertrand Rhodict Lises (terjun), Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (basikal).
Nazifuddin menjelaskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan pada bulan lepas telah membincangkan pelan setiap persatuan sukan untuk tahun ini.
“Ia termasuk persediaan atlet ke pusingan kelayakan seterusnya ke Paris 2024 jika layak,” katanya.
Beliau juga optimis jumlah atlet negara akan bertambah menerusi beberapa atlet sasaran termasuk dari sukan terjun yang masih menanti pusingan kelayakan pada Februari di Doha.
Tambahnya, sukan berbasikal pula akan menyertai beberapa kejohanan untuk mengumpul mata sebelum tarikh tutup kelayakan pada 14 April depan dan para pemain badminton juga berpeluang mencari mata untuk perbaiki kedudukan ranking mereka sebelum tarikh tutup pada 28 April depan.
“Badminton juga ada kejohanan pada bulan ini, bermula dengan Terbuka Malaysia dan beberapa kejohanan lain di India, Indonesia dan Thailand. Saya pasti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah ada pelan dalam memilih kejohanan yang atlet badminton negara akan sertai untuk mendapatkan mata.
“Turut memburu mata serta tiket ke Paris pada bulan ini ialah pelayaran yang menawarkan slot Kejohanan Dunia ILCA. Skuad hoki pula akan menyertai kejohanan kelayakan di Oman untuk pasukan lelaki, manakala di Valencia untuk Wanita. Ini merupakan kelayakan terakhir mereka dan hanya tiga pasukan terbaik akan mendapat slot ke Paris.
“Bagi sukan lain juga saya percaya atlet negara akan melakukan yang terbaik dalam misi untuk meraih tempat ke Paris antaranya seperti renang, olahraga, golf, gimnastik, angkat berat, pingpong, taekwondo dan bola sepak yang turut akan mengharungi kejohanan kelayakan,” katanya. – Sinar Harian