Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 4, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA 2024: Kontinjen Selangor giat jalani latihan sejak Ogos lalu

SHAH ALAM, 4 JAN: Kontinjen Selangor kini dalam persiapan rapi bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak Ogos ini.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) berkata latihan untuk 37 acara yang setakat ini disahkan pada temasya itu giat dijalankan sejak Ogos lalu.

“Persiapan dijalankan dengan baik memperlihatkan kesemua atlet dan pasukan memberi komitmen tinggi menghadapi SUKMA kali ini.

“Namun ada beberapa acara atau sukan masih di peringkat senarai panjang untuk pemilihan atlet selain masih menanti ketetapan jumlah acara yang dipertandingkan dalam mesyuarat pada 22 Januari ini,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Ditanya mengenai sasaran pingat kontinjen Selangor, beliau berkata pihaknya masih menanti keputusan Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara berkenaan tetapan jumlah sukan dipertandingkan.

“Kita masih menanti keputusan pihak berkaitan. Sejurus sahaja ia dimuktamadkan, MSNS akan menetapkan jumlah sasaran pingat dengan mengambil kira beberapa faktor yang akan dikaji.

“Namun ada beberapa sukan atau acara yang dilihat bakal menyerlahkan atlet kontinjen ini seperti memanah, ping pong, olahraga dan menembak,” katanya lagi.

Pasukan berbasikal Selangor giat menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 di Johor pada 2020 sebelum ia ditangguhkan akibat penularan Covid-19. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SUKMA ke-21 di Sarawak dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan. Selangor pernah menjuarai temasya sukan berkenaan di Sarawak pada 2016.

Pada 17 November lalu, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi memaklumkan kontinjen Selangor menyasarkan kedudukan tiga teratas pada temasya SUKMA kali ini.

Beliau berkata sasaran ditetapkan MSNS itu dibuat hasil pemantauan dan penilaian prestasi atlet sepanjang tempoh persediaan.

“Kita telah melihat keadaan dan potensi semasa setiap atlet, melalui pemantauan serta penilaian sepanjang tempoh persediaan yang dilaksanakan.

“Melalui penyertaan kejohanan lain sebelum ini, MSNS merasakan kemampuan untuk berada di kedudukan tiga terbaik pada temasya SUKMA 2024,” katanya. -Selangor Kini

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Aisyah sudah mulakan latihan ke Olimpik

Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohd Zubir memaklumkan baru sahaja melaporkan diri di Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai bagi memulakan persiapan ke Olimpik kelak.

Nur Aisyah yang melakar sejarah tersendiri sebagai pelumba lebuh raya wanita pertama terpilih beraksi di temasya Olimpik Paris 2024 berkata, dia kini sudah memulakan latihan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, sesi latihan berkenaan dijalankan sejurus selepas berakhirnya tempoh rehat panjang daripada menjalani sebarang aktiviti di MSN.

“Buat masa sekarang, saya boleh katakan perkembangan setakat hari ini masih di tahap 20 peratus kerana saya pun baru sahaja memulakan latihan.

“Sebagai persediaan awal bagi aspek fizikal dan mental, saya mendisiplinkan diri dari segi pemakanan dan mendapatkan rehat yang cukup untuk mengelakkan tekanan pada diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Nur Aisyah turut menyasarkan untuk mengekalkan prestasi yang terbaik dan menghabiskan perlumbaan dengan cemerlang.

Menurutnya, temasya Sukan Olimpik Paris 2024 itu adalah penampilan sulungnya di peringkat dunia dan antara temasya sukan terbesar di dunia yang pernah disertai sepanjang kariernya.

Untuk rekod, anak kelahiran Terengganu itu pernah meraih tujuh emas di Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 selain meraih dua perak satu gangsa di Sukan Sea Hanoi dan dua gangsa di Sukan Sea Kemboja.

Seiring pencapaian itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan secara sebulat suara untuk memilih Nur Aisyah bagi mengisi slot beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Terdahulu, Malaysia layak secara merit menerusi slot benua Asia selepas menamatkan perlumbaan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di tempat kedua teratas dalam kalangan pelumba negara yang belum layak ke Olimpik.

-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Mod ‘gear lima’ buru tiket Olimpik

PARA atlet negara ketika ini berada dalam ‘gear lima’ untuk meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Nazifuddin Najib berkata, mereka mempunyai tempoh sehingga April untuk ‘pecut’ mendapatkan slot ke temasya terbesar dunia tersebut.
“Jangan toleh belakang lagi, fokus kepada matlamat untuk raih tiket Olimpik. Buat yang terbaik demi negara dan teruskan berjuang.
“Saya jangkakan antara April hingga Mei kita boleh nampak lebih jelas jumlah sebenar atlet negara yang akan beraksi di Paris 2024,” katanya kepada Sukan Sinar.
Setakat ini Malaysia sudah mempunyai lima wakil yang mengesahkan tempat untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Mereka ialah Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Bertrand Rhodict Lises (terjun), Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (basikal).
Nazifuddin menjelaskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Sukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan pada bulan lepas telah membincangkan pelan setiap persatuan sukan untuk tahun ini.
“Ia termasuk persediaan atlet ke pusingan kelayakan seterusnya ke Paris 2024 jika layak,” katanya.
Beliau juga optimis jumlah atlet negara akan bertambah menerusi beberapa atlet sasaran termasuk dari sukan terjun yang masih menanti pusingan kelayakan pada Februari di Doha.
Tambahnya, sukan berbasikal pula akan menyertai beberapa kejohanan untuk mengumpul mata sebelum tarikh tutup kelayakan pada 14 April depan dan para pemain badminton juga berpeluang mencari mata untuk perbaiki kedudukan ranking mereka sebelum tarikh tutup pada 28 April depan.
“Badminton juga ada kejohanan pada bulan ini, bermula dengan Terbuka Malaysia dan beberapa kejohanan lain di India, Indonesia dan Thailand. Saya pasti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah ada pelan dalam memilih kejohanan yang atlet badminton negara akan sertai untuk mendapatkan mata.
“Turut memburu mata serta tiket ke Paris pada bulan ini ialah pelayaran yang menawarkan slot Kejohanan Dunia ILCA. Skuad hoki pula akan menyertai kejohanan kelayakan di Oman untuk pasukan lelaki, manakala di Valencia untuk Wanita. Ini merupakan kelayakan terakhir mereka dan hanya tiga pasukan terbaik akan mendapat slot ke Paris.
“Bagi sukan lain juga saya percaya atlet negara akan melakukan yang terbaik dalam misi untuk meraih tempat ke Paris antaranya seperti renang, olahraga, golf, gimnastik, angkat berat, pingpong, taekwondo dan bola sepak yang turut akan mengharungi kejohanan kelayakan,” katanya. – Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Syaiful siap sedia harungi Paralimpik Paris 2024

KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Para Asia Hangzhou tahun lalu menjadi pemangkin semangat buat Muhammad Nur Syaiful Zulkafli untuk beraksi lebih cemerlang pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Atlet renang para negara itu berkata, beliau akan membuat persiapan berintensiti tinggi bermula bulan ini sebagai persediaan mengharungi temasya sukan berprestij berkenaan yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September depan.

Muhammad Nur Syaiful berkata, beliau juga dijadual menyertai kem latihan di China selama dua bulan pada Jun sebelum menggalas cabaran Malaysia di Paris.

“Segala persiapan bermula dari sekarang iaitu bulan ini, jadi dari awal tahun sampai detik ke Sukan Paralimpik Paris 2024 adalah tumpuan utama saya untuk kekal fokus bagi aksi seterusnya. (Ketika ini) saya ada 11 sesi latihan seminggu pada pagi dan petang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada masa sama, atlet kelahiran Sarawak berusia 29 tahun itu juga akan menyertai dua kejohanan sebagai aksi pemanas badan serta melihat tahap kemajuan prestasinya.

“Saya akan sertai kejohanan Siri Dunia Renang Para Citi di Itali pada Mac depan, selain berangkat ke Portugal bagi The Madeira 2024 Para Swimming European Open Championships pada April,” katanya.

Dalam pada itu, meskipun tidak meletakkan sebarang sasaran pingat di Paris, Muhammad Nur Syaiful berazam melakukan terbaik agar dapat mencapai keputusan yang membanggakan.

“Saya akan cuba yang terbaik… pingat itu tidak pasti tetapi insya-Allah, jika ada rezeki saya di sana,” katanya yang menduduki tempat kelima pada final acara 50 meter (m) gaya bebas S5 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pada Sukan Para Asia Hangzhou yang berlangsung Oktober lalu, Muhammad Nur Syaiful memenangi pingat emas 100m kuak dada SB4 dan membawa pulang gangsa acara 100m gaya bebas S5. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Muay Thai Perak giat jalani latihan intensif hadapi SUKMA 2024

IPOH, 4 Jan: Pasukan Muay Thai Perak yang dibarisi jaguh bertaraf dunia nampaknya tidak berdepan masalah untuk terus menggenggam kilauan emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung 17 hingga 24 Ogos depan.

Giat menjalani latihan intensif termasuk perlawanan peringkat antarabangsa sebagai persiapan menghadapi temasya itu, ketua jurulatih Bernard Radin berkata pasukannya tidak menghadapi sebarang masalah malah berada di landasan tepat dan berjalan seperti yang dirancang.

Menurutnya sepanjang tahun lepas sahaja pihaknya telah menganjurkan dua kejohanan Muay Thai di Ipoh pada Ogos bersama pasukan dari Thailand dan Disember lepas bersama pasukan dari Indonesia bagi meningkatkan kesiapsiagaan serta kompetensi atlet.

“Kami mahu menghasilkan atlet bertaraf dunia serta mencapai tahap prestasi unggul jadi pendedahan dalam pertandingan dengan atlet dari luar negara memainkan peranan yang penting.

“Kami baru pulang dari Koh Sa Mui, Thailand minggu lalu selepas menyertai satu kejohanan yang menjadi antara medan untuk menilai tahap prestasi atlet Muay Thai Perak dan ada beberapa lagi siri pertandingan sebelum persiapan terakhir selesai kelak,” katanya ditemui Bernama ketika sesi latihan bersama atlet Muay Thai Perak di sini, hari ini.

Bernard ketika ditanya mengenai sasaran pingat emas pada temasya edisi ke-21 itu berkata pihaknya menyerahkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

“SUKMA di Perak sasaran dua pingat emas namun kami berjaya dapatkan lebih untuk kontinjen Perak begitu juga di Kuala Lumpur sasar tiga emas namun kami berjaya raih empat emas, satu perak dan dua gangsa membabitkan lapan peserta.

“Jika ikutkan prestasi terkini skuad Muay Thai Perak semua atlet kami berada pada tahap terbaik dan kami tunggu apa yang ditetapkan oleh MSN nanti, mungkin akan ada perubahan yang akan dilakukan bergantung kepada kategori masing-masing untuk pastikan atlet yang dihantar akan menghasilkan pingat, ” katanya.

Pihaknya berkemungkinan akan menghantar tujuh atau lapan atlet pada temasya SUKMA 2024 termasuk beberapa atlet baharu untuk kejohanan itu.

“Kontinjen Muay Thai Perak diketuai juara dunia tiga kali, Mohammad Rifdean Masdor serta seorang lagi juara dunia, Nur Amisha Azrilrizal.

“Turut berada dalam skuad, Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli (Jebat), Raja Izzati Raja Annuar dan Muhammad Amirul Adli Sali Meha (Deli),” katanya.

Muay Thai disenarai oleh tuan rumah, Sarawak sebagai antara empat jenis sukan tambahan selain tinju, petanque dan sukan elektronik (E-Sports) bagi temasya SUKMA 2024 di samping 28 sukan wajib lain. -TVS

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MSN jangka lebih 25 atlet beraksi di Paris 2024

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menjangkakan lebih kurang 25 hingga 30 atlet akan layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini, angka yang hampir sama dengan edisi-edisi lepas.

Ketua Pengarah baharunya, Abdul Rashid Yaakub berkata, jumlah itu boleh meningkat sehingga lebih 50 sekiranya skuad hoki lelaki kebangsaan berjaya melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu selepas kemarau selama 24 tahun.

Dengan harapan besar rakyat Malaysia untuk menamatkan penantian lebih enam dekad untuk merangkul pingat emas pertama, beliau berkata badminton, berbasikal trek dan terjun kekal sebagai prospek utama pingat bagi kontinjen negara.

“Peluang untuk pingat tetap ada, bukan sahaja di Olimpik tetapi dalam mana-mana kejohanan. Pertamanya atlet perlu percaya diri mereka dan buat persediaan yang baik, kemudian apabila tiba di sana, mereka perlu pamerkan aksi terbaik, sekurang-kurangnya rekod kebangsaan atau rekod peribadi terbaik, yang mungkin membawa peluang meraih pingat.

Kita masih bergantung kepada berbasikal, badminton dan terjun (untuk pingat), tetapi sukan ketepatan seperti menembak dan memanah juga boleh cipta kejutan. Harapan besar semua pihak adalah, kalau boleh, menang emas pertama di Paris tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdul Rashid yang dilantik ke jawatan itu pada awal November lepas menggantikan Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang bersara wajib, berkata, pihaknya sedang memberikan bantuan dari segi sokongan sains sukan, kejurulatihan dan perundingan yang terbaik kepada atlet yang sudah layak dan berpotensi layak ke Paris 2024 menerusi Program Podium dan Road to Gold (RTG).

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib yakin bahawa faktor kewangan tidak akan menjadi isu dalam memberikan sokongan terbaik buat prospek pingat, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM20 juta khas untuk RTG dalam Belanjawan 2024.

“Kita pun tahu RTG dapat bajet lebih tahun ini, banyak akan disalurkan kepada kontinjen Paris ini, dan kita harap ia akan membantu mereka meraih pingat kerana dari segi perkhidmatan sokongan kita bagi maksimum. Terpulang kepada kehebatan atlet itu untuk membawa pulang pingat.

Majlis Sukan Negara Malaysia