Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Badang Pahang janji dua emas Sukma

Rompin: Pasukan angkat berat Pahang menyasarkan untuk membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak, September depan.

Jurulatihnya Sapri Ab Latip berkata, seramai 13 atlet lelaki dan wanita kini sedang mengikuti latihan pusat peringkat awal di pusat latihan angkat berat di Rompin. Atlet akan bersaing dalam lapan kategori yang dipertandingkan.

Menurutnya, senarai terakhir atlet angkat berat Pahang yang akan membawa cabaran Tok Gajah hanya akan diputuskan oleh jawatankuasa pemilihan Sukma selewat-lewatnya pada Mei depan.

“Dalam tempoh sembilan bulan ini saya dan jurulatih, Zainudin Joseph akan berusaha sedaya upaya untuk melahirkan atlet angkat berat yang terbaik dalam usaha Pahang membawa pulang kejayaan merangkul pingat yang dipertandingkan.

“Walaupun sasaran kita hanya dua emas, satu perak dan dua gangsa, namun tidak mustahil kejayaan lebih membanggakan dapat dicapai,” katanya, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, rata-rata atlet angkat berat Pahang yang akan bersaing dipentas Sukma 2024 terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dan lebih dua tahun telah mengikuti program latihan dibawah Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Persatuan Angkat Berat Amatur Pahang (PABAP).-Harian Metro