KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan pasukan negara akan berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan misi emas sulung pada temasya sukan berprestij itu tahun depan, tercapai.
Beliau berkata, ketika ini, jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kedua-duanya masih memburu tempat ke Paris, merupakan sandaran terbaik untuk Malaysia memenangi emas.
“Untuk menang emas kena jadi terbaik dunia … dari segi rekod, Azizulhasni paling hampir, kedua mungkin Aaron-Wooi Yik tapi mereka belum stabil dan harap di Paris mereka capai kemuncak (prestasi).
“Kalau (sekarang) kita ada lima atlet … memang semua sentiasa masuk final, (dan) peluang kita lebih cerah tetapi kita tetap akan berusaha,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Lahir Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Doa Selamat Sempena Piala Asia 2023 dan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor pada Selasa.
Setakat ini, lima atlet negara sudah mengesahkan tiket ke Paris iaitu pemanah recurve Ariana Nur Dania Zairi, Nur Aisyah Mohamad Zubir (berbasikal lebuh raya), Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan atlet menembak Johnathan Wong.
Lebih ramai atlet negara dijangka meraih tiket ke Paris antaranya Mohd Azizulhasni dan Aaron-Wooi Yik memandangkan fasa kelayakan ke temasya sukan berprestij itu masih terbuka hingga Jun tahun depan.
Dalam pada itu, Hamidin komited untuk membantu kelima-lima atlet yang telah melayakkan diri ke Paris memandangkan mereka tidak berada dalam program Road To Gold (RTG).
“Januari nanti saya akan bermesyuarat dengan mereka di sini untuk mengetahui apa lagi keperluan mereka, walaupun mereka tak berada dalam RTG, kita perlu membantu dan ini tugas saya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan Nur Shazrin mampu mencipta kejutan di Paris.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Olimpik adalah pada edisi Rio 2016 dengan merangkul empat perak dan satu gangsa.
Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan. — Bernama