Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives December 22, 2023

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MSN semak semula elaun jurulatih, atlet para badminton

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyemak semula pemberian elaun kepada jurulatih dan atlet para badminton yang berada dalam Program Podium atas pencapaian mereka pada beberapa temasya antarabangsa yang disertai tahun ini.

Ketua Jabatan Sumber Manusia & Pentadbiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) R. Ravendran berkata antara temasya yang diambil kira ialah Sukan Para ASEAN 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Jun dan Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China Oktober lepas.

“… antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa (JKK) Sukan ialah semak semula elaun tiga jurulatih dan tujuh atlet di bawah Program Podium.

“Namun, perincian ada pada MSN yang akan membincangkan (bersama pihak terbabit) untuk selaraskan semua, sebab ada banyak kategori berkaitan dengan pencapaian dan pertandingan yang lepas diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat JKK Sukan di MSN di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ravendran memaklumkan pemain perseorangan SU5 (kecacatan fizikal) Muhammad Fareez Anuar masih berpeluang mewakili negara pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 sekiranya beliau menaiki podium pada Kejohanan Badminton Para Dunia 2024 yang akan berlangsung di Pattaya, Thailand pada Februari depan.

Menurut Ravendran senarai akhir pemain yang layak mewakili negara pada temasya empat tahun sekali itu, bagaimanapun hanya akan diketahui pada April depan dengan mereka turut akan berpangkalan di luar negara sebagai rangka persiapan pasukan badminton para negara ke Paris.

“Buat masa ini jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou berada dalam landasan tepat ke Paris, namun Muhammad Fareez masih perlu menonjolkan aksi terbaik di Kejohanan Dunia nanti sebab mengikut peraturan hanya enam terbaik layak ke Paris.

“… tetapi andai kata Muhammad Fareez (ketujuh dunia dalam ranking ke Paris), kita perlu buat rayuan ‘wild card’ sebab setiap negara boleh hantar satu wakil sahaja,” katanya.

Beliau turut memaklumkan BAM akan menambah dua jurulatih tempatan baharu dalam pasukan badminton para negara pada Februari depan.

— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
13 acara sukan dipertandingkan pada SUKSAR III

KUCHING: Sebanyak 13 acara sukan dipertandingkan pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) III yang akan diadakan di Sibu dari 15 hingga 18 Jan depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kelayakan atlet menyertai SUKSAR III itu adalah mereka berusia 21 tahun ke bawah serta tidak pernah memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) serta tidak terlibat dalam program pelapis kebangsaan.
“Tujuan sebenar penganjuran SUKSAR III ini adalah sebagai platform mencari atlet berbakat untuk membentuk skuad pelapis SUKMA yang akan berlangsung pada Ogos tahun hadapan.
“Penganjuran SUKSAR juga untuk membantu persatuan kurang aktif dalam penganjuran pertandingan untuk bersiap sedia menghadapi SUKMA kelak,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata selain itu, penganjuran SUKSAR juga bertujuan untuk memperkenalkan sukan teras di seluruh Sarawak mengikut pecahan Zon.
Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian mewakili Zon Selatan; bahagian Sri Aman, Betong dan Sarikei (Zon Barat); bahagian Sibu, Mukah dan Kapit (Zon Tengah) dan Zon Utara gabungan tiga bahagian iaitu Bintulu, Miri dan Limbang.
“Antara acara sukan yang dipertandingkan selama empat hari berlangsung ialah angkat berat, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, futsal, hoki, judo, karate, pencak silat, sepak takraw, tinju, taekwondo dan wushu,” katanya.
Abdul Karim berkata acara perasmian yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Sibu akan dihadiri oleh beliau manakala Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual menyempurnakan majlis penutup.
SUKMA 2024 di Sarawak akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos.
— BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia