Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKSAR III: 13 acara sukan akan dipertandingkan

KUCHING, 21 Disember- Sebanyak 13 acara sukan dipertandingkan pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) III yang bakal diadakan di Sibu dari 15 hingga 18 Januari depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kelayakan atlet menyertai SUKSAR III itu adalah mereka berusia 21 tahun ke bawah serta tidak pernah memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) serta tidak terlibat dalam program pelapis kebangsaan.

Jelasnya, penganjuran SUKSAR III sebagai platform mencari atlet berbakat untuk membentuk skuad pelapis SUKMA yang akan berlangsung pada Ogos tahun hadapan.

“Penganjuran SUKSAR juga untuk membantu persatuan kurang aktif dalam penganjuran pertandingan untuk bersiap sedia menghadapi SUKMA kelak.

“Selain itu, penganjuran SUKSAR juga bertujuan untuk memperkenalkan sukan teras di seluruh Sarawak mengikut pecahan Zon,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ujarnya, bahagian Kuching, Samarahan dan Serian mewakili Zon Selatan; bahagian Sri Aman, Betong dan Sarikei (Zon Barat); bahagian Sibu, Mukah dan Kapit (Zon Tengah) dan Zon Utara gabungan tiga bahagian iaitu Bintulu, Miri dan Limbang.

Antara acara sukan yang dipertandingkan selama empat hari berlangsung ialah angkat berat, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, futsal, hoki, judo, karate, pencak silat, sepak takraw, tinju, taekwondo dan wushu.

Abdul Karim berkata acara perasmian yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Sibu akan dihadiri oleh beliau manakala Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual menyempurnakan majlis penutup.

SUKMA 2024 di Sarawak akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos. -RTM