Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dekwan, Ammar akan dibantu layak ke Paralimpik Paris

Kuala Lumpur: Persatuan Olahraga Para Malaysia (MPAA) akan membantu dua atlet para olahraga negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Presiden MPAA, Mohd Zarrawi Abdullah berkata, kedua-dua atlet itu akan dihantar menyertai kejohanan penting tahun depan dalam usaha memastikan mereka layak secara merit ke temasya terbesar dunia itu.

Jelasnya, mereka bakal menyertai Kejohanan Grand Prix di Fazza ke-15 Dubai pada 15 Februari depan dalam usaha memburu kelayakan ke Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 yang dijadual berlangsung di Kobe, Jepun tiga bulan kemudian.

“Kita letak harapan tinggi kepada Dekwan (Ridzuan) dan Ammar ke Paris 2024 namun mereka perlu bekerja keras bagi memastikan prestasi sentiasa terbaik.

“Yang pertama sekali, mereka perlu mendapatkan kedudukan 10 terbaik di UAE dan selepas itu perlu meraih pingat emas atau perak di Jepun untuk melayakkan diri secara merit ke Paris 2024. Ini pilihan terakhir buat atlet negara sekiranya ingin melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Untuk rekod, setakat ini hanya dua atlet para olahraga sudah melayakkan diri ke Paris 2024 iaitu Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Latif menempat slot secara merit ke Paris selepas meraih emas dalam kategori T20 di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, Julai lalu manakala Ziyad pula membawa pulang perak dalam acara lontar peluru kategori F20 di kejohanan sama.-Harian Metro