KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah bersetuju untuk tidak memperbaharui kontrak Chris Martin sebagai jurulatih kebangsaan.
Martin, yang telah bersama pasukan kebangsaan sejak 2019, akan tamat kontrak hujung tahun ini.
Setiausaha Kehormat MS Andy Low berkata jurulatih kelahiran Amerika itu maklum akan perkara tersebut malah membantu mereka mencari penggantinya.
“Memandangkan Martin akan meninggalkan kami tidak lama lagi, saya ingin berterima kasih atas khidmat dan kerja kerasnya selama ini terutama dalam membantu Khiew Hoe Yean memecahkan rekod kebangsaan selama 32 tahun dalam 1,500 meter gaya bebas lelaki pada Queensland Championships di Australia baru-baru ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Hoe Yean, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, mencatat 15:21.92 saat (s) untuk memadamkan rekod sebelum itu, 15:23.61s, dicipta Jeffrey Ong pada 1991.
Sementara itu, Andy berkata mereka telah menyenarai pendek beberapa calon untuk menggantikan Martin dan akan mengumumkan jurulatih kebangsaan baharu bulan depan.
“Kami mempunyai calon dari Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada. Kesemua mereka mempunyai pengalaman dalam bidang kejurulatihan di negara mereka. Kami harap dapat selesaikan (perkara ini) bulan depan.
“Kami turut berharap untuk melantik pengarah teknikal baharu bulan depan. Dua daripada calon akhir kami adalah dari Amerika Syarikat,” katanya.
Sementara itu, Andy berharap mereka mempunyai dana mencukupi untuk menghantar perenang kebangsaan menyertai kem latihan di Thailand bulan depan, sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Akuatik Dunia 2024 di Doha, Qatar, pada 2-18 Feb.
— BERNAMA