MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mahukan acara sukan temasya Sukan SEA 2025 di Thailand mempunyai kesinambungan dengan edisi seterusnya di Kuala Lumpur pada 2027.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkara tersebut akan dibawa kepada Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) di Bangkok, Thailand pada Januari ini.
“(Setiausaha Agung MOM) Datuk Nazifuddin Najib akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengkoordinasikan acara sukan yang kita nak pertahankan supaya dimasukkan ke Thailand.
“Ini kerana kita mahukan acara yang agak sama dipertandingkan pada 2027 ketika kita menjadi tuan rumah. Kita tak mahu acara sukan dipertandingkan di Thailand nanti terlalu banyak beza dengan Kuala Lumpur.
“Ia supaya program yang kita laksanakan nanti konsisten, dengan kata lain atlet pelapis yang kita perkenalkan di Thailand nanti boleh berada pada tahap prestasinya pada 2027,” katanya.
Norza berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Eksekutif Ahli Majlis MOM ke-206 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-42 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Sabtu.
Pada Sukan SEA di Kemboja tahun ini, kontinjen Malaysia menamatkan kempen di tangga ketujuh daripada 11 negara dengan meraih 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa.
Ia dianggap pencapaian terburuk buat kontinjen Malaysia dalam sejarah penyertaan dalam temasya dwitahunan itu apabila turut gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Norza membayangkan kemungkinan sasaran warna pingat akan tetap digunakan pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.
“Ini memandangkan temasya Sukan SEA bersifat pembangunan dan persahabatan,” jelasnya. – Sinar Harian