KUALA NERUS: Terengganu akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, Ogos tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata ia termasuk 28 sukan wajib dan sembilan acara sukan pilihan iaitu catur, e-sport, kabaddi, kriket, muaythai, pentanque, silambam, sofbol dan tinju.
“Kontinjen SUKMA Terengganu akan menyertai semua jenis sukan yang dipertandingkan kecuali bola keranjang atas sebab tertentu,” katanya pada Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu SUKMA XXl Sarawak 2024, di sini pada Rabu.
Hishamuddin berkata ketika ini kira-kira 700 atlet sedang menjalani latihan fasa dua yang memfokus kepada penyertaan atlet di seberapa banyak pertandingan atau kejohanan di serata tempat sama ada dalam mahupun di luar negara.
Menurutnya, 35 peratus daripada 700 atlet berkenaan pernah bertanding pada SUKMA 2022 manakala selebihnya diisi oleh muka-muka baharu.
“Keberkesanan pemilihan atlet baharu yang menjalani latihan intensif bagi mengisi dua per tiga kekosongan skuad yang ditinggalkan atlet lama menjadi faktor utama dalam menentukan kejayaan kontinjen Terengganu pada SUKMA tahun hadapan.
“Tempoh 255 hari menjelang SUKMA adalah masa terbaik untuk memperkemas dan melaksanakan secara serius strategi-strategi yang telah digariskan,” katanya.
Selain itu, Hishamuddin turut menyarankan barisan jurulatih supaya lebih teliti dalam aspek pemilihan pertandingan sukan di luar negara agar bersesuaian dengan keperluan serta tahap atlet terutama yang melibatkan sasaran pingat emas.
Katanya, selepas memasuki fasa ketiga, penyertaan skuad SUKMA bagi kejohanan dalam negara perlu dikurangkan bagi memastikan keupayaan atlet tidak dihidu pasukan negeri lain.
“Semua pihak perlu memastikan moral dan prestasi atlet sentiasa berada pada tahap terbaik untuk kita merampas semula gelaran juara SUKMA tahun depan,” katanya.
Pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, Terengganu muncul sebagai naib juara selepas mengutip 64 pingat emas; pingat perak (49 pingat) dan pingat gangsa (55 pingat).– BERNAMA