Karnival Bakat Sukan Para MSN – KPM 2023 anjuran Bahagian Para, Majlis Sukan Negara Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia pada 5 – 7 Disember 2023 bertempat di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik (PKSP), Kg. Pandan, Kuala Lumpur telah melabuhkan tirainya hari ini.
Pengisian program karnival kali ini terdiri daripada sesi bateri ujian dalam kalangan atlet dan diakhiri dengan mini pertandingan. Karnival yang melibatkan enam jenis sukan iaitu para olahraga, para badminton, para ping pong, para powerlifting, para memanah dan boccia telah disertai oleh 16 kontinjen yang terdiri daripada 13 kontinjen negeri dan tiga kontinjen Wilayah Persekutuan; Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Seramai 201 atlet (137 lelaki / 64 wanita) dengan pecahan ketidakupayaan penglihatan 39 orang, ketidakupayaan fizikal 57 dan ketidakupayaan pembelajaran 105 orang serta 88 guru pengiring terlibat dalam karnival tersebut.