Pasukan Bola Sepak Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) muncul juara Liga Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 tahun selepas berjaya menewaskan pasukan dari SMK Taman Desa Skudai yang di wakili Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) bawah 14 tahun dengan jaringan 3-2.
Pemain AMD, Muhammad Iman Danish bin Mohd Shukor muncul wira AMD selepas menjaringkan 3 gol pada minit ke 45, 51 dan 54 separuh masa kedua selepas AMD terdahulu ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama. Kedudukan 2-3 tersebut kekal sehingga wisel penamat.
Tambah manis lagi, pemain AMD, Mohamad Iman Irfan Muhammad Hapis dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan Adrian Muslim Sufian pula dinobatkan Penjaga Gol Terbaik pada perlawanan yang sama.
Selain itu juga, dua orang pemain AMD mendapat anugerah Penjaring Terbanyak Liga Premier Bawah 17 dan 14 iaitu Muhammad Syaifullah Mahruzi dan Izzudin Afif Nazaruddin.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat Fadhlina Sidek yang turut hadir bersama-sama menyaksikan perlawanan akhir tersebut di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor.